Archive for the ‘Nasional’ Category

Pro-Mahasiswa USM menyifatkan insiden yang berlaku di UPSI pada awal Tahun Baru, 1 Januari 2012 bakal tercatat dalam sejarah gerakan mahasiswa.

Kenyataan Presiden KAMI di Akhbar Sinar Harian

Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Haziq Abdullah Abdul Aziz berkata, tindakan polis melakukan kekasaran terhadap mereka termasuk menyebabkan Pengerusi Gerakan Penuntut Kebebasan Akademik (BEBAS), Safwan Anang cedera parah tidak sepatutnya berlaku.

Menurut Haziq, tindakan polis menumbuk dan menendang untuk meleraikan demonstrasi adalah tidak relevan kerana kumpulan mahasiswa terbabit tidak melakukan apa-apa yang mencetuskan keganasan dan hanya baring beramai-ramai di depan pintu utama UPSI.

Menceritakan insiden yang berlaku malam tadi, Haziq berkata mereka mula berkumpul di pintu utama UPSI pada jam 1.50 pagi dan sempat memberi ucapan selama 10 minit sebelum pihak polis dan FRU tiba.

“Polis memberi amaran supaya menghentikan perhimpunan jika tidak akan sembur gas pemedih mata dan ketika kami ingin ke depan pintu pagar UPSI, tiba-tiba seorang polis datang, ingin menarik Safwan ke trak polis.

“Mahasiswa yang berhimpun menjadi marah dan berlaku pergelutan antara kami dan polis, dan di situ kami dibelasah, ditumbuk dan ditendang,” katanya.

Haziq berkata, Safwan yang pernah mempunyai rekod perubatan di mana tulang mukanya pernah retak, telah ditumbuk oleh pegawai polis mengakibatkan dia menggigil kesakitan dan rebah di atas jalan.

Jelas Haziq, insiden memecah pintu masuk Klinik Syifa berhampiran adalah kerana keadaan memaksa iaitu ingin membantu Safwan yang menggigil dan berlumuran darah.

“Kami tidak dapat membawa Safwan ke hospital kerana kunci kereta sudah dirampas, lalu pergi ke klinik berkenaan dan merayu kepada pembantu jururawat agar membuka pintu tetapi enggan berbuat demikian.

“Tiba-tiba berlaku adegan tolak-menolak antara kami dan pihak polis di depan pintu klinik menyebabkan pintu itu pecah, ramai yang cedera akibat insiden itu tetapi polis tidak memberi sebarang bantuan perubatan kepada kami,” katanya.

Haziq, antara 17 mahasiswa yang ditahan berkata, Safwan kemudiannya dibawa ke hospital dengan kereta rakannya.

“Saya dan 16 yang lain dibawa ke balai polis untuk memberi keterangan, kemudian ditahan beberapa jam sebelum dibebaskan petang tadi,” katanya.

Advertisements

Pada 29 November 2011 yang lepas, Pro-Mahasiswa USM bersama-sama dalam menghantar memorandum BEBAS kepada kerajaan Negeri Pulau Pinang di Komtar bersama aktivis-aktivis mahasiswa BEBAS.

Hari ini 1 Januari 2012, Pro-Mahasiswa USM mendapat berita bahawa aktivis-aktivis mahasiswa tersebut dibelasah dengan teruk oleh pihak Federal Reserve Unit (FRU) pada malam Tahun baru 2012.

Pro-Mahasiswa USM kesal dengan tindakan yang diambil oleh FRU dalam menangani isu yang berlaku di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada awal tahun baru 2012 kerana berlakunya tragedi membelasah mahasiswa dalam menyuraikan perhimpunan di UPSI. Pengerusi BEBAS, Saudara Safwan Anang di laporkan kritikal dan beberapa mahasiswa lain yang turut tercedera dengan tindakan zalim pihak polis.

Ini merupakan satu tindakan yang tidak wajar kerana secara terang-terangan bertentangan dengan roh Perlembagaan Persekutuan yang sememangnya memberi hak kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat.

Sekalipun himpunan ini dilihat sebagai satu perkara yang boleh mengganggu-gugat keselamatan awam, pihak polis tidak sewajarnya menggunakan kekerasan dalam menangani himpunan ini kerana mereka hanya berdepan dengan mahasiswa dan bukannya penjenayah bersenjata.

Tindakan yang diambil seolah-oleh menggambarkan pihak polis terlalu terdesak dan tiada jalan lain dalam menangani himpunan tersebut. Ini sama sekali tidak sesuai di lakukan dalam negara yang mengamalkan demokrasi.

Sikap “double standard” polis juga terlihat apabila sebelah pihak yang menyokong kerajaan membuat demostrasi di Putrajaya pada 21 Disember baru-baru ini tidak pula dikenakan apa-apa tindakan, sebaliknya kekerasaan diperlakukan kepada mahasiswa yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

Seharusnya pihak polis menjadi badan yang bertanggungjawab dalam memastikan keharmonian, keadilan, dan kesaksamaan semua pihak khususnya rakyat jelata dan bukannya bertindak di luar peri kemanusiaan.

We Are All Safwan Anang

Maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh diperoleh di FB Pages

Pada 24 November 2011, Perdana Menteri Malaysia telah membuat satu pengumuman untuk meminda Seksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi membolehkan mahasiswa berusia 21 tahun ke atas menganggotai parti-parti politik.

Umum sudah mengetahui bahawa dalam Perlembagaan Persekutuan telah dinyatakan setiap warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun boleh mengundi dan terlibat dalam parti politik. Namun, hak ini telah dinafikan kepada mahasiswa kerana terikat dengan Seksyen 15, AUKU. Perkara ini menjadi semakin hangat apabila Mahkamah Rayuan telah mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) AUKU adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Percanggahan antara AUKU dengan Perlembagaan Persekutuan ini akan dapat diselesaikan apabila Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan untuk membuat pindaan kepada Seksyen 15 AUKU.

Namun begitu, saya berharap agar pihak kerajaan perlu membuktikan komitmen mereka dalam meminda Seksyen 15 AUKU ini dan bukannya bercakap untuk menyedapkan hati mahasiswa sahaja. Hal ini kerana, pada 14 November 2011 yang lalu, seramai 10 orang telah ditangkap dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Sabah walaupun Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan untuk memansuhkan ISA itu.

Pada pandangan peribadi saya, pindaan kepada Seksyen 15 AUKU ini perlu bagi menjamin kebebasan mahasiswa untuk berpolitik di luar kampus, menjamin idealisme mahasiswa yang merupakan agen ‘check and balance’ kepada kerajaan mahupun pembangkang.

Namun begitu, saya juga berpendirian bahawa apabila mahasiswa sudah dibenarkan untuk menyertai parti politik, Universiti perlu mempunyai kuasa bagi menghalang dan menyekat parti-parti politik luar untuk masuk ke dalam kampus untuk menjalankan aktiviti-aktiviti mereka bagi menjamin persekitaran yang aman di dalam kampus. Perkara ini saya telah usulkan dalam Parlimen Mahasiswa USM (DPPUSM) iaitu ‘Meminda Seksyen 15 AUKU Bagi Membolehkan Mahasiswa Berpolitik dan Menghalang Kemasukan Politik Luar’. Tuntutan kedua ini telah menunjukkan ramai ahli DPPUSM menyokong untuk pihak Universiti mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan parti politik masuk ke dalam kampus untuk menjalankan aktiviti mereka.

Akhir kata, saya berharap agar pihak kerajaan komited dalam melaksanakan apa yang telah diumumkan dan bukannya hanya bercakap untuk menyedapkan hati mahasiswa serta alat untuk memenangi Pilihan Raya Umum sahaja.

Oleh:


MOHAMAD ISWANDI BIN ISHAK
Ahli Majlis Perwakilan Pelajar USM (Pro Mahasiswa)