DATO SAIFUDDIN ABDULLAH – PRK PETUNJUK PRU13

Posted: Oktober 15, 2012 in Isu Semasa, Nasional

Pilihan raya kampus (PRK) bagi 20 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk sesi ini telah selesai dijalankan pada 2 Oktober lalu. Kecuali masalah teknikal yang menyebabkan PRK Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terpaksa diadakan semula, umumnya PRK kali ini berjalan tanpa masalah besar.

Kepada semua Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang telah dipilih, saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah dan doakan dapat memikul amanah ini dengan cemerlang.

PRK kali ini menarik minat ramai secara luar biasa. Ini berlaku kerana dua sebab. Pertama, kerana ia PRK yang pertama sejak pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik. Kedua, kerana ia PRK terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Oleh itu, pertandingan antara calon daripada kumpulan Pro-Aspirasi (yang dikatakan pro-BN) dan kumpulan Pro-Mahasiswa (yang dikatakan pro-PR) dianggap lebih sengit daripada biasa. Keputusannya jelas memihak kepada Pro-Aspirasi.

Kesengitan pertandingan ini menyebabkan kalau sebelum ini, penggolongan calon-calon kepada kedua-dua kumpulan itu, walaupun wujud, namun ia tidak begitu terbuka, tetapi kali ini, ia lebih terbuka.

Dari satu segi, ia boleh ditafsirkan bahawa kewujudan kumpulan-kumpulan tersebut kini semacam diiktiraf. Dari segi yang lain, ia boleh ditafsirkan bahawa posisi Auku yang tidak mengizinkan aktiviti parti politik di dalam kampus semacam diketepikan, justeru boleh memberi laluan bagi cadangan Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin untuk menubuhkan Kelab Penyokong BN di kampus diluluskan.

Bagi saya, sebenarnya, PRK ialah soal pendidikan politik. Apa yang penting bukannya kumpulan mana yang menang. Apa yang lebih penting ialah, pertama, semua kerusi yang dipertandingkan ada pertandingan. Sekiranya ada satu atau dua kerusi yang tiada pertandingan (menang tanpa bertanding), maka ia adat demokrasi. Tetapi, sekiranya terdapat lebih 150 daripada 620 kerusi yang dipertandingkan dimenangi tanpa bertanding, maka ia menimbulkan tanda tanya.

Kedua, peratus keluar mengundi yang tinggi. Tiada angka dapat menggambarkan ketinggian itu. Tetapi, dengan peratusan keluar mengundi keseluruhan tidak sampai 75 peratus, dan dengan tiga IPTA di bawah 50 peratus, maka ia bukanlah angka yang baik.

Dan ketiga, kualiti isu-isu yang diketengahkan semasa berkempen. Adakah ia isu-isu dalaman kampus semata-mata, atau termasuk isu-isu negara dan antarabangsa? Adakah isu-isu tersebut daripada acuan kampus ataupun luar kampus? Adakah pendirian mahasiswa mempengaruhi pendirian pihak-pihak di luar kampus atau sebaliknya?

Di samping itu, masanya sudah tiba untuk difikirkan bagi membolehkan PRK dilaksanakan sepenuhnya oleh mahasiswa, dan tidak lagi oleh pentadbiran universiti.

Persoalan berikutnya ialah sejauh manakah keputusan PRK akan mempengaruhi pengundi muda dalam PRU13?

Sejak selepas PRU10, kecuali UIAM, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang dianggap berada dalam liga politik mahasiswa yang tersendiri, boleh dikatakan IPTA lain sentiasa dimenangi oleh kumpulan Pro-Aspirasi.

Walaupun tiada angka yang tepat, kerana undi adalah rahsia, tetapi, anggarannya ialah keputusan PRK yang memihak pada Pro-Aspirasi menguntungkan BN pada PRU11, tetapi tidak begitu pada PRU12.

Bagaimana pula dengan PRU13? Ia bergantung pada dua faktor. Pertama, keaktifan dan keberkesanan pemimpin-pemimpin MPP atau mahasiswa lain (yang kalah atau tidak mengambil bahagian dalam PRK) apabila berkempen. Kedua, parti mana yang akan meletakkan calon daripada kalangan pemimpin mahasiswa.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s