Arkib untuk Oktober, 2012

Pilihan raya kampus (PRK) bagi 20 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk sesi ini telah selesai dijalankan pada 2 Oktober lalu. Kecuali masalah teknikal yang menyebabkan PRK Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terpaksa diadakan semula, umumnya PRK kali ini berjalan tanpa masalah besar.

Kepada semua Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang telah dipilih, saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah dan doakan dapat memikul amanah ini dengan cemerlang.

PRK kali ini menarik minat ramai secara luar biasa. Ini berlaku kerana dua sebab. Pertama, kerana ia PRK yang pertama sejak pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik. Kedua, kerana ia PRK terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Oleh itu, pertandingan antara calon daripada kumpulan Pro-Aspirasi (yang dikatakan pro-BN) dan kumpulan Pro-Mahasiswa (yang dikatakan pro-PR) dianggap lebih sengit daripada biasa. Keputusannya jelas memihak kepada Pro-Aspirasi.

Kesengitan pertandingan ini menyebabkan kalau sebelum ini, penggolongan calon-calon kepada kedua-dua kumpulan itu, walaupun wujud, namun ia tidak begitu terbuka, tetapi kali ini, ia lebih terbuka.

Dari satu segi, ia boleh ditafsirkan bahawa kewujudan kumpulan-kumpulan tersebut kini semacam diiktiraf. Dari segi yang lain, ia boleh ditafsirkan bahawa posisi Auku yang tidak mengizinkan aktiviti parti politik di dalam kampus semacam diketepikan, justeru boleh memberi laluan bagi cadangan Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin untuk menubuhkan Kelab Penyokong BN di kampus diluluskan. (more…)