Arkib untuk November, 2011

Pada 24 November 2011, Perdana Menteri Malaysia telah membuat satu pengumuman untuk meminda Seksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi membolehkan mahasiswa berusia 21 tahun ke atas menganggotai parti-parti politik.

Umum sudah mengetahui bahawa dalam Perlembagaan Persekutuan telah dinyatakan setiap warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun boleh mengundi dan terlibat dalam parti politik. Namun, hak ini telah dinafikan kepada mahasiswa kerana terikat dengan Seksyen 15, AUKU. Perkara ini menjadi semakin hangat apabila Mahkamah Rayuan telah mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) AUKU adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Percanggahan antara AUKU dengan Perlembagaan Persekutuan ini akan dapat diselesaikan apabila Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan untuk membuat pindaan kepada Seksyen 15 AUKU.

Namun begitu, saya berharap agar pihak kerajaan perlu membuktikan komitmen mereka dalam meminda Seksyen 15 AUKU ini dan bukannya bercakap untuk menyedapkan hati mahasiswa sahaja. Hal ini kerana, pada 14 November 2011 yang lalu, seramai 10 orang telah ditangkap dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Sabah walaupun Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan untuk memansuhkan ISA itu.

Pada pandangan peribadi saya, pindaan kepada Seksyen 15 AUKU ini perlu bagi menjamin kebebasan mahasiswa untuk berpolitik di luar kampus, menjamin idealisme mahasiswa yang merupakan agen ‘check and balance’ kepada kerajaan mahupun pembangkang.

Namun begitu, saya juga berpendirian bahawa apabila mahasiswa sudah dibenarkan untuk menyertai parti politik, Universiti perlu mempunyai kuasa bagi menghalang dan menyekat parti-parti politik luar untuk masuk ke dalam kampus untuk menjalankan aktiviti-aktiviti mereka bagi menjamin persekitaran yang aman di dalam kampus. Perkara ini saya telah usulkan dalam Parlimen Mahasiswa USM (DPPUSM) iaitu ‘Meminda Seksyen 15 AUKU Bagi Membolehkan Mahasiswa Berpolitik dan Menghalang Kemasukan Politik Luar’. Tuntutan kedua ini telah menunjukkan ramai ahli DPPUSM menyokong untuk pihak Universiti mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan parti politik masuk ke dalam kampus untuk menjalankan aktiviti mereka.

Akhir kata, saya berharap agar pihak kerajaan komited dalam melaksanakan apa yang telah diumumkan dan bukannya hanya bercakap untuk menyedapkan hati mahasiswa serta alat untuk memenangi Pilihan Raya Umum sahaja.

Oleh:


MOHAMAD ISWANDI BIN ISHAK
Ahli Majlis Perwakilan Pelajar USM (Pro Mahasiswa)

Terdapat beberapa aktivis mahasiswa berbeza pendapat terhadap keputusan kerajaan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi membolehkan pelajar yang mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik.

Sebahagian mereka beranggapan pengumuman Perdana Menteri berhubung perkara itu menunjukkan keseriusan memahami kehendak mahasiswa manakala sebahagian lagi melihat usaha itu tidak cukup kerana AUKU sebenarnya perlu dimansuh.

Ketua Penerangan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Mohd Yusof Hadhari menyambut baik hasrat kerajaan untuk meminda Seksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Ini menunjukkan bahawa kerajaan yang sedia ada sudah mula faham dan akur dengan desak pelbagai pihak yang saban tahun memperjuangkan permansuhan AUKU sejak Tun Dr Mahathir Mohamad lagi iaitu pada tahun 1971 berikutan demonstrasi Baling di Kedah. Menurutnya lagi, setiap undang-undang yang digubal berdiri atas satu-satu niat penggubalan, begitu juga dengan AUKU. Tambah beliau lagi, AUKU ini juga membunuh aktivisme mahasiswa. Mahasiswa tidak lagi bebas berfikir, berpersatuan, menyuarakan pandangan secara idealis dan akademik malah kehidupan mereka sentiasa diancam. Natijahnya, mahasiswa Malaysia saban ini tidak lagi menjadi jurubicara ummah demi pembangunan negara sebagaimana mahasiswa Malaysia pada era 1960-an dan 1970-an, malah ianya turut terkesan kepada pensyarah-pensyarah universiti.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pengumuman ini dilihat bertetapan dengan agenda transformasi politik dan juga semangat kerajaan ketika memansuhkan “akta drakonian lain”, seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). “PKPIM merasakan, sudah sampai masanya pendidikan dan kesedaran politik perlu diberi penekanan secara menyeluruh kepada golongan mahasiswa di universiti supaya pemahaman mereka tidak hanya memahami politik dalam konteks kepartian semata-mata,” katanya.

DEMA: SEKSYEN LAIN JUGA BERMASALAH

Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia (DEMA) mahukan AUKU dimansuhkan serta merta dan bukan dipinda kerana bertentangan dengan perlembagaan dan “mengongkong fikiran” mahasiswa dan kakitangan akademik. Menurut kumpulan itu, bukan sahaja seksyen 15, terdapat juga peruntukan lain dalam AUKU yang digambarkan bermasalah di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta.

Akta ini telah menghalalkan campur tangan kerajaan dalam pentadbiran IPTA iaitu Seksyen 4 yang memfokuskan kuasa mutlak kampus dan menghancurkan demorakrasi kampus serta autonomi mahasiswa. Dalam kenyataan, DEMA juga berkata, seksyen ini memberikan “kuasa mutlak” kepada Menteri Pengajian Tinggi untuk meluluskan pentadbir universiti membolehkan campurtangan luar terhadap universiti berlaku, termasuk oleh pihak polis.

DEMA juga menyeru kerajaan supaya mengembalikan demokrasi kampus dan autonomi mahasiswa dengan pemansuhan AUKU. Sehingga hari ini, Naib Canselor yang dilantik oleh Menteri Pengajian Tinggi adalah tindakan autokratik yang bermotifkan kepentingan politik.