M.A.H.A.S.I.S.W.A

Posted: Oktober 5, 2011 in Mainpost, Rencana

Apa Itu Mahasiswa?

Oleh sebab kita sudah terbiasa berada dalam kalangan masyarakat mahasiswa, sudah tentu kita menganggap mahasiswa adalah masyarakat belajar yang biasa mengelek buku atau menggalas beg sekolah semata-mata. Inilah yang kita biasa lihat dan inilah persepsi kita tentang mahasiswa.

Sebenarnya mahasiswa mempunyai maksud dan peranan yang lebih luas dari apa yang kita sama-sama simpulkan. Jika dilihat sendiri secara harfiah pada perkataan M.A.H.A.S.I.S.W.A, sebenarnya ia terdiri oleh dua suku kata iaitu “maha” yang membawa maksud besar dan berkuasa dan “siswa” yang merujuk pada sekelompok pelajar atau penuntut di institusi pengajian tinggi.

Hasil sintesis kedua-dua suku kata ini memberi makna yang lebih tinggi iaitu satu “bangsa” yang bukan sahaja mulia disebabkan kesempatan belajar di institusi peringkat tinggi tetapi turut mempunyai kuasa mobilisasi massa berteraskan kapasiti intelektual yang dimiliki oleh mereka.

Dr. Zuhdi Bin Marzuki (Universiti Malaya, 2001) mendifinisikan mahasiswa sebagai suatu kelompok pelajar yang yang berada dalam peringkat paling tinggi dalam sistem pendidikan formal sesebuah negara.

Penggemblingan tenaga kelompok ini berteraskan daya keintelektualan yang bersifat idealis untuk mencapai matlamat yang digagaskan bersama, selaras dengan kedudukan mereka di menara puncak ilmu.

Natijahnya, lahir suatu arus gerakan yang sentiasa bersama dengan kebenaran dan sama sekali tidak bersekongkol dengan kebatilan hatta kelompok mereka ini dikenali sebagai independence group. Mahasiswa perlu untuk menghayati spirit-spirit seperti ini. Mereka bukan sahaja menjadi ulat buku di perpustakaan dan bilik-bilik kuliah, malah sangat peka dengan isu-isu yang melibatkan kepentingan mereka dan masyarakat. Mereka sentiasa berfikir dan tahu bagaimana untuk menyuarakan pandangan mereka secara penuh rasional dan sopan.

Realiti ini telah meletakkan kepemimpinan mahasiswa sebagai pemangkin, agen perubahan, semak dan imbang dan sebagainya.

Kesimpulannya, mahasiswa hari ini perlu seiring dengan transformasi yang dijalankan oleh pihak kerajaan agar kita mampu menjadi pencetus idea-idea bernas untuk mencorak negara kita ke arah yang terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

Komen-komen
  1. Faiz Ezra berkata:

    teruslah berkarya agar menjadi pencetus idea-idea bernas untuk mencorak negara ke arah yang terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

Tinggalkan komen