Arkib untuk Oktober, 2011

LAPORAN AUDIT NEGARA 2010

Posted: Oktober 26, 2011 in Nasional

Laporan Ketua Audit Negara 2011 telah diedarkan sebagai Kertas Perintah 40, Tahun 2011 kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada hari Isnin, 24 Oktober 2011 biarpun ia agak di luar amalan Parlimen Malaysia yang sekian lama dikemukakan bersekali dengan Laporan Ekonomi dan dokumentasi belanjawan negara. Pengedarannya didapati lewat 17 hari dari tarikh pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober 2011 yang lalu.

Umum mengetahui Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) merupakan dokumen rasmi kerajaan yang ‘panas’ dan mendapat liputan luas ekoran di dalamnya terkandung laporan audit yang tidak boleh diselindungi daripada pengetahuan umum.

Untuk mendapatkan versi penuh, rakyat Malaysia boleh mendapatkannya di capaian berikut; Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2010 bagi Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun Persekutuan.

Hasil dari penelitian prestasi terhadap pelaksanaan aktiviti di bawah 32 Kementerian/Jabatan Persekutuan dan pengurusan 7 syarikat Kerajaan, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa dari segi pelaksanan aktiviti/projek yang dijalankan terdapat beberapa kelemahan yang berpunca daripada penyeliaan yang kurang rapi, ketiadaan pemantauan yang berkesan, kekurangan peruntukan kewangan dan kekurangan kakitangan serta kepakaran.

Analisa ini diwar-warkan kepada pembaca bukan bertujuan mengkritik mana-mana pihak, tetapi sekadar hebahan informasi umum kepada kita semua sebagai warganegara Malaysia tercinta ini.

  • 19 daripada 47 syarikat-syarikat (40%) yang dikawal oleh Kementerian Kewangan mengalami kerugian pada tahun 2009 hampir mencecah RM0.71 bilion (RM710,000,000). Oleh kerana 28 syarikat lain berkenaan mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM93.06 bilion, keuntungan sebelum cukai keseluruhan 47 syarikat tersebut adalah berjumlah RM92.35 bilion yang turun yang menunjukkan penurunan sebanyak RM3.83 bilion berbanding dengan keseluruhan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM96.18 bilion pada tahun 2008. Antara syarikat-syarikat yang menyaksikan prestasi cemerlang, adalah Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Bank Pembangunan Malaysia Bhd dan syarikat hartanah Cyberjaya, Cyberview Sdn Bhd. Tiga syarikat yang mencatatkan kerugian terbesar adalah syarikat pengendali pengangkutan awam Syarikat Prasarana Bhd (Prasarana), Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan Aset Global Network Sdn Bhd.
  • 9 Kementerian & jabatan telah lebih belanja peruntukkan operasi dengan jumlah RM3.73 billion. Antara Kementerian tersebut adalah Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
  • Kutipan cukai meningkat sebanyak RM1.01 billion menjadi RM159.65 billion berbanding tahun 2009.
  • Hutang negara untuk tahun 2010 sahaja sudah menjangkau RM407.1 billion berbanding RM362.39 biliion pada tahun 2009. Kadar hutang negara telah melepasi 50% daripada KDNK untuk 32 tahun berturut sejak tahun 2009 lagi.
  • Dek kerana kuda-kuda yang dibeli pada 2008 untuk tujuan menyertai pertandingan ekuestrian dan sukan lasak gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa atau Federation Equestre Internationale, akhirnya Majlis Sukan Negara (MSN) membeli 23 ekor kuda berjumlah RM5.66 juta dan dibuat melalui rundingan terus tanpa kelulusan Kementerian Kewangan. Antaranya :
  1. Equine Centre Sdn Bhd (6 ekor) : RM1.98 juta
  2. El Ranco Country Club (13 ekor) : RM2.48 juta
  3. Royal Terengganu Endurance Stable (2 ekor) : RM0.58 juta
  4. Toft Endurance Pty Ltd (2 ekor dengan nilai RM0.62 juta

Kuda-kuda yang tidak dibenarkan bertanding telah diberikan kepada :

  1. Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (tiga ekor kuda)
  2. Unit berkuda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (tiga ekor kuda)
  3. Pusat equestrian Angkatan Tentera (dua ekor kuda)
  4. Universiti Putra Malaysia (tiga ekor kuda)
  5. Universiti Teknologi Malaysia (dua ekor kuda)
  6. Majlis Sukan Terengganu (dua ekor kuda)
  7. Royal Terengganu Endurance Stable (lapan ekor kuda)
  • Jabatan Taman Laut Malaysia sepatutnya memperoleh RM52,594.08 (denda) tapi hanya mampu mengutip RM23,792.56. Kalau ikut Laporan ketua Audit Negara 2010, Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) punya perbelanjaan boleh tahan juga “makannya”. Sebagai contoh :
  1. RM56,350 untuk hanya sepasang ‘binokular marin’ atau teropong visi malam (harga pasaran RM1,940)
  2. RM56,350 untuk sepasang binocular visi malam jenama Bushnell (harga pasaran RM2,827)
  3. RM11,845 untuk komputer riba dan pencetak warna (harga pasaran RM3,428)
  • 96% daripada 341 penerima bantuan perumahan dikategorikan sebagai golongan miskin tegar “dikira tidak layak” kerana mereka tidak berdaftar dengan e-Kasih atau Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SSPKR). Namun, mereka diberi bantuan perumahan di bawah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) Program Bantuan Perumahan (PBR). Tetapi ada yang tidak layak diberikan bantuan.
  • Kedudukan kewangan di Pulau Pinang telah bertambah baik dari 2009 hingga 2010 yang Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan bahawa semua petunjuk kewangan di negeri ini telah meningkat pada tahun lepas.
  1. Kumpulan Wang Disatukan Negeri telah meningkat RM29.28 juta atau 2.7% kepada RM1.13 bilion
  2. Baki Akaun Hasil Disatukan telah juga meningkat RM33.54 juta atau 6.2% sehingga mencapai RM572.49 juta
  3. Hasil yang dikutip pada tahun 2010 telah meningkat sebanyak RM34.19 juta atau 9.1% kepada RM410.70 berbanding dengan 2009, RM376.51 juta
  4. Aset negeri yang terdiri daripada wang tunai dan pelaburan meningkat RM29.28 jutal atau 2.7% kepada RM1.13 bilion (RM1.10 bilion pada tahun 2009)
  • Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati beberapa kontraktor telah membina lebuhraya Senai-Desaru yang telah gagal ujian jalan termasuklah kegagalan spesifikasi seperti di beberapa bahagian dengan turapan Dense Bituminous Macadam (DBM) yang kurang daripada ketebalan minimum 95 mm.
  • Kes tangkapan dan aduan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengambil masa lebih 700 hari untuk diselesaikan
  • Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah ditegur supaya membelanjakan peruntukkan sebanyak RM54 juta dengan cara yang betul. Antara barang yang patut boleh dapat harga murah tetapi dibeli pada harga yang tinggi adalah:
  1. Ketuhar berharga RM1,200 berbanding harga pasaran RM419
  2. Katil Boleh Lipat berharga RM500 berbanding harga pasaran RM100
  3. Dapur gas dua pembakar pada harga RM200 setiap satu, dan bukannya RM59.90
  4. Mesin gunting rambut yang dibekalkan pada harga RM250 setiap satu, dan bukannya RM79
  5. Pengisar pada RM140 dan bukannya sebanyak RM60

Tersebut merupakan beberapa kelemahan dari sudut integriti yang telah didedahkan kepada umum.

Persoalannya sekarang ini, apakah tindakan kerajaan seterusnya untuk mengatasi masalah perbelanjaan yang berlebihan ini?

Sumber: http://pm-ukm.blogspot.com/2011/10/analisis-laporan-ketua-audit-negara.html

JUSTICE FOR PROF. AZIZ BARI

Posted: Oktober 26, 2011 in Isu Semasa

Prof. Abdul Aziz Bari, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah digantung jawatan kerana kenyataan beliau dimana beliau menyifatkan tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) itu bukan sesuatu yang lazim dan menyifatkannya sebagai tidak konsisten.

Saya terfikir dan mempersoal akan kejadian dahulu dimana Profesor Datuk Zainal Kling dari UPSI mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tidak pernah dijajah. Namun, beliau tidak dikenakan sebarang tindakan susulan daripada kenyataan beliau itu.

Namun begitu, saya berasa kecewa terhadap tindakan penggantungan yang dikenakan terhadap seorang pakar perlembagaan di Malaysia tanpa diadili terlebih dahulu. Sebagai seorang ahli akademik, Prof. Abdul Aziz Bari berhak menyatakan pendapat beliau. Ini adalah sebahagian dari kebebasan akademik yang dipunyai oleh setiap ahli akademik.

Selain itu, perkara ini juga bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyentuh berkenaan kebebasan bersuara. Bagi saya, isu yang dikeluarkan oleh Prof. Abdul Aziz Bari ini perlu dijawab secara ilmiah dan bukannya dengan terus menggantung perkhidmatan beliau.

Kritikan inteletek adalah sangat penting di dalam dunia akademik kerana dengannya budaya keilmuan di sesebuah universiti itu boleh berkembang dan menyumbang sesuatu kepada pembangunan bangsa dan negara. Ini bertepatan dengan kebebasan akademik yang telah disaran oleh UNESCO melalui peruntukan dalam “Recommendation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel” yang dihasilkan melalui persidangan UNESCO pada 11 November 1997, seperti dalam Artikel 26 dan 27:
“the right to contribute to social change through freely expressing their opinion of state policies and of policies affecting higher education”.

Bagi saya, pandangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato Saifuddin Abdullah adalah rasional dan terbuka. Beliau mengatakan bahawa “Saya tidak semestinya setuju dengan semua pendapat Aziz Bari. Kalau benar dia bersalah, wajar dihukum. “Kini ia masih dalam siasatan. Justeru, tindakan UIAM menggantungnya saya dapati menimbulkan persoalan,”. Hal ini bertepatan dengan Peraturan 15 dalam Peraturan Tatatertib Kakitangan UIAM dimana memperjelaskan bahawa kebebasan ahli akademik membuat sebarang kenyataan umum hendaklah tidak bercanggah dengan kepentingan universiti. Namun persoalannya ialah tindakan menggantung beliau tanpa diadili ini menimbulkan persoalan ramai pihak.

Oleh itu, saya menyokong tindakan Pro-Mahasiswa UIAM yang berpendirian untuk:

  • Mendesak supaya pentadbiran UIAM membuat penjelasan terhadap kes ini.
  • Mendesak agar penggantungan terhadap Prof Abd Aziz Bari ditarik balik.
  • Bertegas dengan sebarang campur tangan politik luar ke dalam UIAM demi menjaga nama baik institusi ‘Taman Ilmu dan Budi’.
  • Memberikan kebebasan bersuara dan kebebasan akademik seluas-luasnya tanpa sebarang kepentingan oleh mana-mana pihak.

 

Artikel Oleh:

Mohamad Iswandi Ishak, Majlis Perwakilan Pelajar USM.

BAJET 2012 WAJAR MESRA MAHASISWA

Posted: Oktober 16, 2011 in Uncategorized

Bajet 2012 dengan jumlah RM232.8 bilion diumumkan oleh Memanda Perdana Menteri dengan gembira sekali. Sungguhnya rakyat memang menunggu pengumuman ini seolah sama dengan pengisytiharan pembahagian harta pusaka, masing-masing akan tanya berapa bahagian yang kamu dapat. Defesit kali yang ke-15 merupakan suatu keadaan yang kurang sihat kepada ekonomi sedangkan perlunya komitmen kerajaan untuk mengurangkan hutang Negara yang makin meningkat saban tahun.

Pendapatan Negara sebahagiannya disumbangkan oleh pelaburan asing FDI yang mencatat sejumlah RM 21.2 billion bagi enam bulan pertama tahun ini. Perlu diingatkan juga bahawa FDI ini disumbangkan oleh negeri Selangor dan Pulau Pinang lebih dari 70% daripada keseluruhannya. Hal ini bermaksud penumpuan pembangunan negeri lain seperti Kelantan, Kedah, Terengganu, Sabah dan Serawak akan terus terpinggir jika tidak ada inisiatif yang serius bagi membantu negeri berkenaan.

Sebagai mahasiswa yang memahami konsep bernegara, maka kita menerima bajet yang dibentangkan secara rasional. Masa yang ada sekarang ialah proses membahaskan bajet yang diumumkan hinggalah ia diluluskan oleh suara majoriti ahli dewan rakyat kelak.

Bajet Perlu Mesra Mahasiswa

Seramai 1juta mahasiswa di Malaysia menunggu dengan penuh harapan akan hadiah yang akan diberikan pada bajet pada kali ini. Akhirnya diumumkan baucer RM200 untuk membeli buku kepada semua mahasiswa IPT, Matrikulasi dan Tingkatan 6. Kita boleh ucapkan terima kasih atas duit raya ini, namum sekali lagi ianya bukan dan tidak menyelesaikan masalah utama mahasiswa.

Dengan duit RM200 hanya boleh digunakan untuk membeli tidak lebih dari 5 buah buku akademik, sedangkan masalah yang lebih besar dihadapi mahasiswa ialah kenaikan yuran pengajian yang mendadak. Setiap tahun akan berlaku kenaikan yuran akibat universiti tidak mampu menanggung kos pengurusan yang makin tinggi apatah lagi sebuah universiti yang berstatus universiti penyelidikan yang memerlukan sejumlah RM200juta setiap tahun bagi tujuan berkenaan. Maka mahasiswa juga yang menjadi mangsa.

Sepatutnya kerajaan harus mencari mekanisma untuk mengurangkan yuran berkenaan disamping boleh memberikan pinjaman pengajian yang lebih fleksibel dengan kos sara hidup mahasiswa dan lokasi pengajian. Cadangan supaya pinjaman PTPTN diberikan mengikut zon dan wilayah perlu dikaji kerana ialah dapat menyelesaikan masalah lokaliti sara hidup mahasiswa.

Pengumuman yang turut mengembirakan kakitangan awam juga ialah umur persaraan wajib diubah dari 58 tahun kepada 60 tahun. Sekali lagi berita ini menyedihkan mahasiswa. Peluang pekerjaan yang semakin terhimpit dan sukar, disana pula dilanjutkan lagi penjawatan awam yang akan menyebabkan pengangguran graduan bakal bertambah. Jika ada 20000 penjawat awam yang perlu bersara pada tahun ini dan dilanjutkan lagi untuk dua tahun, maka lebih 40000 graduan yang bakal terlepas peluang kerja berkenaan. Pengangguran makin meningkat, masalah sosial juga turut bertambah.

Perkara yang perlu dipertikaikan juga ialah bagaimana soal kecakapan mengurus kerajaan khususnya dalam sektor awam. Melihat kepada jumlah peningkatan kakitangan awam di Negara ini menunjukkan bahawa ketidakcekapan semakin terserlah berbanding dengan Negara membangun yang lain. Setiap 10 orang rakyat Malaysia yang bekerja, seorang daripadanya ialah penjawat awam. Ketidakcekapan ini akan menyebabkan wang Negara dibelanjakan pada sektor yang tidak produktif.

Maklumat diatas adalah peratusan kakitangan awam dengan guna tenaga yang ada dalam negara. Lihat data yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara yang jelas sekali cara Malaysia mengurangkan kadar pengangguran dengan mencipta peluang kerja yang sudah ada kakitangan awam yang boleh melaksanakan tugas yang sama. Persoalan ini adalah berkaitan duit rakyat dibazirkan pada sektor yang tidak mengembangkan kek ekonomi Negara.

Pada tahun 2000 jumlah kakitangan awam adalah 894 788 orang dan bertambah kepada 1.2juta masakini. Hal ini agak mengejutkan kerana pertambahan ini akan menunjukkan ketidakberkesanan kerajaan dalam menyelesaikan masalah pekerjaan rakyat. Sepatutnya kemajuan dan kepesatan teknologi dapat mengurangkan penjawat awam supaya produktiviti meningkat, tetapi sebaliknya berlaku di Malaysia.

Peruntukan ada perlu disalurkan untuk membuka peluang kepada graduan dan mahasiswa mencipta ruang dalam bidang perniagaan dan galakan keusahawanan.

Secara ringkasnya bajet 2012 tidak mesra mahasiswa kerana tidak ada penumpuan khusus untuk menyelesaikan masalah akar yang dihadapi mahasiswa umumnya. Perkara berkenaan belum lagi diambil kira soal kebajikan mahasiswa diluar Negara yang terpaksa berkelana dan mencari sumber rezeki sendiri bagi menampung perbelanjaan pengajian mereka. Perlu diingat bahawa mahasiswa yang belajar diluar Negara bukannya datang dari keluarga menteri dan kerabat, tetapi kebanyakannya adalah rakyat biasa dan sangat memerlukan bantuan dan ihsan dari sebuah kerajaan.

Oleh: Ahmad Syazwan Muhammad Hasan, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia [GAMIS]