Arkib untuk September, 2011

Profesor Dato’ Omar Osman telah dilantik secara rasminya sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) untuk tempoh 3 tahun berkuatkuasa dari 28 September 2011 hingga 27 September 2014 menggantikan Prof. Tan Sri. Dato’ Dzulkifli Abdul Razak. Watikah perlantikan Naib Canselor USM yang baru ini telah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Noordin di Putrajaya.

BIODATA PROF DATO’ OMAR OSMAN

Prof Dato’ Omar Osman dilahirkan pada 2 September 1958 di Pulau Pinang dan merupakan graduan dalam bidang ukur bahan, pengurusan pembinaan dan pengurusan projek dan mempunyai ijazah sarjana muda ukur bahan, sarjana pengurusan pembinaan dan ijazah kedoktoran dalam bidang pengurusan projek, dari universiti-universiti di United Kingdom.

Beliau memulakan kerjayanya di USM pada tahun 1989 sebagai pensyarah bidang Pengurusan Projek di Pusat Pengajian Perumahan Bangunan dan Perancangan (HBP) USM. Beliau dinaikkan pangkat ke Profesor Madya pada tahun 1994. Pada Oktober 2008 pula, beliau dinaikkan pangkat ke Profesor di dalam bidang Pengurusan Projek dan masih mengajar dan menyelia pelajar di Pusat Pengajian HBP sehingga kini.

Prof pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar) sejak Mac 2007 selain pernah menjawat jawatan Pengarah Bahagian Pembangunan Lestari dan Korporat USM dari 2005-2007 dan Penggawa Desasiswa Cahaya, USM dari tahun 1990-1996.

Beliau berpengalaman luas di dalam bidang pengurusan dan pengurusan projek dan pernah juga berkhidmat di Kementerian Pendidikan dari tahun 2000-2004 sebagai pengawai khas kepada Menteri Pendidikan Malaysia di dalam bidang pengurusan dan perancangan fizikal pendidikan.

Beliau juga mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai lapangan termasuk menjadi Pengarah Gantian METEOR Sdn. Bhd. [Open University Malaysia] (2006-2007), Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM 2008-2009), Pengerusi ASEAN University Sports Council (AUSC, 2007 hingga kini), Timbalan Pengerusi Sekretariat Timbalan Naib Canselor (bermula 2010) dan Pengerusi Sekretariat IMT-GT University Carnival (2009-2011).

Beliau juga adalah Pengerusi untuk Projek Agenda Kritikal (CAPS), Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN) untuk bidang Pembangunan Holistik Pelajar (HSD) dan Program Perpindahan Ilmu (KTP). Beliau juga adalah ahli Majlis Profesor Negara.

Bidang penyelidikannya sekarang ialah Pendidikan Untuk Pembangunan Lestari dan Aspek-Aspek Kelestarian Dalam Organisasi dan pernah mendapat geran penyelidikan dari dalam dan luar negara.
Beliau juga turut bertanggungjawab untuk mewujudkan Pusat Kepakaran Serantau Pendidikan Untuk Pembangunan Lestari di USM yang dinamakan RCE Penang, iaitu satu daripada tujuh pusat kepakaran serantau dalam bidang ini di dunia.

Beliau juga aktif dalam bidang penulisan dan antara buku terakhir yang diterbitkan ialah dalam bidang Pendidikan untuk Pembangunan Lestari, Pengurusan Pembinaan dan Emerging Governance and Economic Issues in Construction Industry in Malaysia.

Beliau juga telah dianugerahkan pingat Bintang Cemerlang Negeri (BCN), Pulau Pinang (2009), Darjah Dato’ Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSPJ), Perlis (2010) serta Anugerah Tokoh Sukan MASUM (2010).

SELURUH MAHASISWA USM MENGUCAPKAN TAHNIAH KEPADAPROF DATO’ OMAR OSMAN ATAS LANTIKAN BELIAU SEBAGAI NAIB CANSELOR USM