APA KATA DATO’ SAIFUDDIN

Posted: Ogos 8, 2011 in Isu Semasa

“Salam. Saya baru membaca blog SMM tentang kempen ‘Jom Baca Media Alternatif”. Syabas! Sampaikan salam hormat saya kepada Pak Samad & rakan-rakan. Kebetulannya kolum saya di sinar harian esok bertajuk ‘Media Baru Gelanggang Aktivisme Baru’. Kandungannya ialah: kalau media konvensional + media arus perdana tak guna media baru + baiki kandungannya, maka media baru akan menggantikannya sebagai media arus perdana yang baru. Salam perjuangan.”

Kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang telah dihantar oleh Dato’ Saifuddin Abdullah kepada  pihak SMM bagi menyatakan sokongan beliau terhadap program kempen “Jom Baca Media Alternatif”.

Beliau turut menyatakan sokongan padu melalui jaringan sosial ‘facebook’ di mana beliau juga mengucapkan tahniah kepada SMM di atas penganjuran program yang dilihat mampu mewakili suara anak muda di negara ini.

TULISAN PANDANGAN DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH DI KOLUM SINAR HARIAN

TAJUK: MEDIA BARU GELANGGANG AKTIVISME ALTERNATIF

Lebih kurang 1,000 orang menghadiri Wacana Sinar Harian “Apa Selepas 9 Julai?” pada 26 Julai lalu. Lebih 43,000 orang di 61 buah negara menonton siaran langsungnya di televisyen internet Malaysian Observer (mobtv.my). Ramai lagi melayari media baru untuk mengikuti dan menyertai perbincangan mengenainya.

Jumlah yang menghadiri perhimpunan 9 Julai itu, kalaupun tidak sampai 50,000, tentulah lebih daripada 6,000. Jumlah yang menghadirinya secara jarak jauh lebih ramai, iaitu sama ada di perhimpunan di luar negara atau di siaran langsung melalui media baru. Ramai lagi melayari media baru sebelum, semasa dan selepasnya.

Apabila ada media konvensional dan arus perdana memberikan gambaran kurang tepat tentang perjalanan dan kandungan wacana dan perhimpunan itu, maka, mereka yang menghadirinya, menontonnya dan melayarinya sama ada menyatakan “usah perbodohkan kami” atau mentertawakannya atau memulaukannya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyatakan bahawa masyarakat kita sedang melalui satu transisi. Saya memahaminya sebagai transisi dari realiti lama kepada realiti baru. Satu daripada realiti baru ialah media baru. Tetapi, bukan media baru sebagai sekadar alat komunikasi semata-mata. Sebaliknya, ialah media baru sebagai gelanggang untuk beroperasi dan berkongsi.

Perdana Menteri memahami realiti baru ini kerana beliau aktif menggunakan media baru untuk berkomunikasi, beroperasi dan berkongsi. Soalnya, sejauh manakah kita semua memahami dan menggunakan sepenuhnya?

Media baru terdiri daripada tiga elemen utama. Pertama, ia meliputi tiga komponen, iaitu artifak (peralatan-peralatan yang membolehkan dan memanjangkan kemampuan manusia untuk berkomunikasi dan berkongsi makna),  amalan (aktiviti-aktiviti yang disertai manusia dengan menggunakan dan mengembangkan peralatan tersebut dan aturan (bentuk-bentuk organisasi dan sosial yang dicipta serta dibina oleh manusia dengan menggunakan artifak dan amalan tersebut).

Kedua, ia melahirkan dua bentuk kegunaan utama iaitu perubahan berkombinasi (ia bertentangan dengan sifat stabil dan sentiasa berubah dengan mengkombinasikan sistem-sistem lama dengan yang baru melalui inovasi) dan jaringan-atas-jaringan (ia menghubungkan teknologi dengan teknologi, individu, kumpulan, organisasi dan masyarakat) dan begitu juga sebaliknya.

Ketiga, ia menghasilkan dua kesan sosial utama iaitu kewujudan di mana-mana dan bila-bila masa serta ‘inter-aktiviti’ yang memberi peluang untuk memilih, mengguna, menyuarakan, menghubung, mengongsi dan sebagainya.

Dari segi berita, rencana, gambar dan video, sekiranya media konvensional tidak berubah, iaitu tidak menggunakan media baru sebagai saluran tambahan serta mengurangkan laporan dan penulisan yang kurang objektif, maka, ia akan diatasi media baru. Media baru akan menjadi media konvensional yang baru.

Begitu juga media arus perdana. Jika tidak mempunyai saluran media baru dan mengurangkan kandungan kurang objektif, maka ia akan diatasi media baru. Media baru akan menjadi media arus perdana yang baru.

Pemberita dan kamera media konvensional serta arus perdana berada di tempat dan masa tertentu sahaja. Ceritanya disiarkan pada saluran dan waktu yang terhad. Tetapi pemberita dan kamera media baru berada hampir di semua tempat serta setiap masa. Ini kerana setiap orang mampu menjadi pemberita dan jurukamera. Ceritanya disiarkan di pelbagai saluran dan sentiasa.

Bagi aktivis yang dipinggirkan media konvensional dan arus perdana, maka media baru adalah gelanggang alternatif. Bukan sahaja gelanggang untuk bersuara dan berperanan, malah bagi menegakkan aktivisme alternatif.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s