Arkib untuk Ogos, 2011

-Klik Pada Foto-

Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) Fasa 2 digubal bagi pelaksanaan Fasa 2 yang berlandaskan pencapaian setiap Projek Agenda Kritikal (CAP) bagi pelaksanaan pada Fasa 1 dan berfokuskan kepada objektif PSPTN seperti yang termaktub dalam dokumen “Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui Tahun 2020”. Pembentukan PSPTN ini mengambil kira dasar-dasar kerajaan terkini, dengan rujukan khusus dibuat kepada dokumen berikut:

  • Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10)
  • Model Baharu Ekonomi Untuk Malaysia
  • Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP)
  • Program Transformasi Ekonomi (ETP): Hala Tuju Untuk Malaysia

 

OBJEKTIF PSPTN FASA 2

PSPTN telah digubal secara komprehensif dan holistik bagi tujuan memartabatkan pengajian tinggi negara sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa. Pelan strategik ini telah memberi penekanan kepada tujuh teras utama, iaitu:

 

Teras 1 : Meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti

Teras 2 : Menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran

Teras 3 : Memperteguh penyelidikan dan inovasi

Teras 4 : Memperkasakan institusi pengajian tinggi

Teras 5 : Mempergiat pengantarabangsaan

Teras 6 : Membudayakan pembelajaran sepanjang hayat

Teras 7 : Memperkukuhkan sistem penyampaian KPT

 

PELAKSANAAN PSPTN FASA 2

PSPTN Fasa 2 ini menggariskan mekanisme dan pelan pelaksanaan, serta aspek keberhasilan yang diharapkan hasil daripada pelaksanaan inisiatif yang dirancang. Sebagaimana yang digariskan dalam PSPTN Fasa 1, aspek-aspek transformasi dan inisiatif yang dirancang berbeza dari segi tempoh pencapaian yang dirancang. Walaupun terdapat inisiatif yang bercorak jangka pendek yang boleh dicapai dalam tempoh RMKe-10, iaitu selari dengan tempoh PSPTN Fasa 2, terdapat juga sebahagian daripada inisiatif tersebut yang akan menjangkaui tempoh pelaksanaan yang lebih panjang.

 

STRATEGI PELAKSANAA PSPTN FAS 2

Dalam tempoh pelaksanaan PSPTN Fasa 1, setiap institusi telah menetapkan sasaran masing-masing berdasarkan jangkaan kemampuan. Bagi kebanyakan CAP, terdapat jurang antara pencapaian terkumpul institusi dengan sasaran kebangsaan yang ditetapkan oleh pihak CAP sentral.

Pelaksanaan Fasa 2 menetapkan bahawa sasaran yang telah ditetapkan pada peringkat sentral, diagihkan kepada setiap institusi yang berkaitan. Pendekatan ini penting untuk memastikan bahawa sasaran negara dapat dicapai dan isu-isu serta cabaran pelaksanaan dapat ditangani secara lebih efektif. Dalam konteks ini, pasukan projek CAP memainkan peranan yang penting dalam memacu tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan yang telah dirancang. Hubungan dua hala dengan pasukan iPMO adalah amat kritikal dan pasukan projek CAP berperanan sebagai pemudah cara kepada pelaksanaan di institusi untuk memastikan sasaran yang diagihkan kepada institusi berjaya dicapai, yang seterusnya akan menyumbang kepada pencapaian sasaran nasional dan akan membawa kepada kejayaan pencapaian CAP berkenaan.

Dalam memastikan pelan yang dirancang dijadikan panduan yang jitu bagi pelaksanaan inisiatif transformasi, pencapaian akan dipantau dan diukur melalui usaha-usaha pemantauan yang dilaksanakan oleh Pejabat Pengurusan Program (PMO). Usaha pemantauan yang berterusan penting untuk memastikan pelan yang dirancang tercapai dan ini dilaksanakan melalui proses penilaian, semak-semula (jika berkeperluan), program intervensi dan sebagainya. Usaha-usaha pemantauan juga merangkumi penyelesaian isu dan cabaran-cabaran yang menghalang atau melambatkan proses ke arah pencapaian KPI dan seterusnya keberhasilan yang ditetapkan.

Kajian hala tuju pelaksanaan PSPTN Fasa 2 akan dilaksanakan untuk memastikan bahawa kesemua CAP bergerak di atas landasan sama yang ditetapkan dalam dokumen “Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui Tahun 2020”.

 

KAITAN PSPTN FASA 1 DENGAN PSPTN FASA 2

Sehingga Disember 2010, iaitu pada tempoh berakhirnya PSPTN Fasa 1, 22 CAP telah dilaksanakan dalam usaha mencapai objektif PSPTN. Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2011 telah diumumkan satu CAP tambahan iaitu CAP ‘Program Pemindahan Pengetahuan’ (Knowledge Transfer Programme). Penambahan ini menjadikan bilangan CAP PSPTN Fasa 2 berjumlah 23 kesemuanya.

Sepertimana pelaksanaan Fasa 1, lima daripada CAP tersebut adalah projek-projek yang berpusatkan lima tonggak institusi, iaitu:

  • Tadbir Urus
  • Kepemimpinan
  • Akademia
  • Pengajaran dan Pembelajaran
  • Penyelidikan dan Pembangunan

Kelima-lima tonggak ini diberi penekanan dalam pelaksanaan PSPTN Fasa 2 dan diperhalusi dari aspek objektif strategik, pencetus transformasi dan kualiti pencapaian. Pemfokusan kepada kelima-lima tonggak ini penting untuk memastikan kelestarian institusi, peningkatan kualiti institusi serta kualiti produk yang dihasilkan.

18 CAP yang akan berperanan sebagai pemangkin transformasi bagi PSPTN Fasa 2 adalah seperti berikut:

  • Pengantarabangsaan
  • Industri-Akademia
  • Kebolehpasaran Siswazah
  • Institusi Pengajian Tinggi Swasta
  • Pembangunan Holistik Pelajar
  • Jaminan Kualiti
  • Transformasi Politeknik
  • Aksesibiliti dan Kelestarian
  • MyBrain15
  • Program Pemacuan Ke Arah Kecemerlangan (Apex)
  • e-Pembelajaran
  • Sistem Penyampaian KPT
  • Pembelajaran Sepanjang Hayat
  • Top Business School
  • Pusat Kecemerlangan (CoE)
  • Keusahawanan
  • Transformasi Kolej Komuniti
  • Program Pemindahan Pengetahuan

Kesemua 18 Pasukan Projek CAP memainkan peranan untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif yang menyumbang kepada peningkatan kualiti institusi pengajian tinggi negara, ke arah menjadi setanding dengan institusi tersohor dunia. Pendekatan yang diambil adalah melalui penghalusan aspek-aspek objektif strategik, pencetus transformasi dan kualiti pencapaian, berdasarkan pelan Fasa 1 dan pencapaian yang berkaitan.

MUTIARA KATA PEMIMPIN NEGARA

Posted: Ogos 22, 2011 in Uncategorized

Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia Pertama

Merdeka itu bukanlah suatu benda yang mudah boleh didapat, melainkan ialah dikehendaki untuk mendapatkannya itu iaitu pengorbanan yang sebenar pengorbanan. Dengan kerananya kita terpaksa mengorbankan, bukan sahaja wang ringgit dan usaha tenaga bahkan jiwa kita sendiri juga.

Tun Abdul Razak Dato’ Hussein, Perdana Menteri Malaysia Kedua

Hari Merdeka ialah hari Kebangsaan kita. Marilah kita membanggakan negara kita dan sentiasa berjaga-jaga supaya tidak dipengaruhi oleh fahaman Kebangsaan yang sempit. Jika fahaman Kebangsaan yang sempit itu dibiarkan hidup dengan perasaan yang meluap-luap maka sifat bertolak ansur dan tali persahabatan kita dengan negeri-negeri lain yang bebas akan terkecewa. Dengan yang demikian maka terganggulah keamanan dan ketenteraman dunia.

Tun Hussien Onn, Perdana Menteri Malaysia Ketiga

Tuan-tuan sekelian, akhirnya saya suka berpesan dan berharap semoga tuan-tuan dapat menunjukkan semangat keperwiraan dan taat setia yang tidak berbelah bagi pada setiap masa. Tuan-tuan hendaklah sentiasa berwaspada terhadap ancaman-ancaman yang hendak merosakkan ketenteraman dan kedaulatan negara. Di samping itu, tuan-tuan juga hendaklah sentiasa bersiap sedia untuk mempertahankan negara dan memberi perkhidmatan pada masa-masa kecemasan apabila dikehendaki oleh negara kita.

Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia Keempat

Kemerdekaan sahaja tidak bermakna jika selepas merdeka negara tidak mencapai kemajuan. Sebab itulah setelah mencapai kemerdekaan, Kerajaan Malaysia yang merdeka telah berusaha membangunkan negara. Usaha ini telah membawa hasil diluar jangkaan. Daripada sebuah tanah jajahan yang mundur, Malaysia sekarang muncul sebagai salah satu daripada negara yang termaju antara negara-negara membangun. Kemungkinan Malaysia menjadi lebih maju dan rakyat Malaysia hidup lebih selesa dan bahagia bukan lagi satu perkara yang mustahil.

Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia Kelima

Sesungguhnya, segala kejayaan yang dicapai hari ini ditunjangi oleh usaha dan pengorbanan pejuang-pejuang kita yang terdahulu. Tunku Abdul Rahman telah berjuang bagi mencapai kemerdekaan, Tun Abdul Razak berusaha gigih bagi membawa pembangunan, Tun Hussein Onn memerah keringat bagi memupuk perpaduan rakyat dan Tun Dr. Mahathir telah menentang arus bagi mencipta pemodenan. Mereka sebagai pemimpin kita bersama rakyat sekalian telah membawa Malaysia ke tahap ia berada hari ini.

Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia Keenam

Di wajah suci anak-anak ini kulihat sinar. Di hati murni mereka terpahat sebuah impian. Andai sengketa membelenggu sesama. Andai kerakusan menguasai kita. Ke manakah tumpah harapan mereka.

Kerana, Di bahu kitalah terpikul segunung amanah. Di jemala kita terjunjung selaut ikrar. Melunas sumpah, menunai janji.

Ayuhlah, Rakan dan taulan, sahabat dan saingan. Lupakan beza lebuhkan menerima. Bertatihlah bersamaku. Kita berjalan seiringan, kita melangkah ke sehaluan. 1 suara, 1 impian, 1 harapan, 1 Malaysia.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-54 DARI PRO-M USM

“TRANSFORMASI BERJAYA, RAKYAT SEJAHTERA”

Jadilah bangsa yang bijaksana,

Memegang tali memegang timba,

Memiliki ekonomi memegang budaya,

Menjadi tuan di negara merdeka.

Petikan Sajak : Allahyarham Dato’ Dr Usman Awang

Pro Mahasiswa USM mengajak seluruh mahasiswa-mahasiswi untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta akan negara.

Jalur Gemilang melambangkan kesetiaan, kesatuan dan patriotisme. Oleh itu, penting untuk kita menanam semangat dan nilai-nilai patriotisme ini dalam diri kita sebagai generasi muda dan pasca merdeka.

“salah satu cara untuk menjadikan generasi muda kita patriotik dan bersemangat nasionalisme adalah mendidik mereka menghormati dan mencintai bendera” Tan Sri Lee Lam Thye.

“Kerajaan komited dalam melaksanakan dasr-dasar nasional bagi memastikan misi Negara tercapai secara holistik. Jesteru kerajaan mempunyai tanggungjawab yang tinggi untuk memberi tafsiran yang tepat dan komprehensif kepada rakyat bahawa kemajuan Malaysia bukan hanya tertumpu kepada pertumbuhan ekomoni semata-mata. Bangsa yang maju dan berdaya saing akan meletakkan jatidiri sebagai asas penting bagi mencapai kejayaan dan kegemilangan sebenar. Sesungguhnya detik 16 September 1963 merupakan sejarah gemilang di mana Bendera Malaysia dikibarkan, dan semangat patriotisma rakyat semakin membara” Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak.

Ayuh, kita kibarkan Jalur Gemilang bersama Pro Mahasiswa USM dan jadikan picture badges ini sebagai profile picture anda di laman sosial Facebook.

TRANSFORMASI BERJAYA, RAKYAT SEJAHTERA