Arkib untuk Mei, 2011

Rakyat Malaysia digemparkan dengan tragedi tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa, Hulu Langat, Selangor pada 21 Mei 2011 baru-baru ini. Seramai 24 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan rumah anak yatim ini telah tertimbus dalam kejadian ini. Dalam kejadian ini, difahamkan mereka berada dalam dewan makan rumah anak yatim itu dan sedang membuat latihan persembahan bagi satu program yang akan diadakan di rumah tersebut.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dalam satu sidang akhbar berkata seramai 14 mangsa masih terperangkap dan mereka yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Che Rosli Che Mat melaporkan pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung mengeluarkan mayat dan mangsa yang cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kajang.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kerajaan negeri juga telah menghantar Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor ke tempat kejadian untuk memberi bantuan segera kepada mangsa yang terselamat dan ahli keluarga mereka. Beliau turut mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memastikan kebajikan mereka yang terselamat dijaga.

Pro Mahasiswa USM merakamkan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga mangsa tragedi tanah runtuh ini. Semoga keluarga mangsa dan mangsa yang terselamat tabah dan sabar menempuhi dugaan yang melanda ini. Bencana yang berlaku ini mempunyai hikmah disebaliknya. Pro Mahasiswa USM juga berharap semua pihak redha dengan bencana ini.

Advertisements