Arkib untuk Februari, 2011

oleh: Mohamad Iswandi bin Ishak

Teknologi Industri/2

 

Sejenak kita mengimbas kepada sejarah, pada era 70-an, mahasiswa digelar jurucakap bagi masyarakat, menjadi penghubung antara kerajaan di atas dengan golongan marhain di bawah.

Antara pemimpin mahasiswa yang aktif bergerak dalam gerakan mahasiswa kala itu antaranya Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi, Shabery Chek, Puad Zarkashi, Saifuddin Abdullah, Saifudin Nasution, Sanusi Junid, Ibrahim Ali dan ramai lagi pemimpin yang kita kenali pada hari ini sebagai pemimpin masyarakat. Mereka ini lahir sebagai satu kelompok yang independen, kritis dalam berfikir serta berani menyuarakan pandangan.

Sebagai kelompok yang hidup di sebuah pusat intelektual, mahasiswa mampu melihat segala kepincangan tanpa sikap berat sebelah atau bias kepada mana-mana pihak baik kerajaan mahupun pembangkang. Pada masa yang sama susasana intelektual di kampus ini juga meransang pemikiran mahasiswa dan memberi idea-idea baru kepada mahasiswa dalam mendepani cabaran global.

Mahasiswa berfungsi sebagai agen semak dan imbang, menyuarakan hasrat dan permasalahan masyarakat serta berani untuk bersuara. Oleh yang demikian, sejarah telah membuktikan, hasil dari gerakan, idealisme dan pemikiran mahasiswa ini, beberapa kesan positif kepada negara dapat dicapai. Antaranya:

1.      Pembelaan terhadap kemiskinan rakyat Baling, Kedah membuka mata pihak kerajaan terhadap nasib penduduk miskin.

2.      Akta Bahasa Kebangsaan digazetkan adalah atas usaha dan pemikiran mahasiswa.

3.      Pembelaan penduduk setinggan di Tasik Utara, Johor.

4.      Perjuangan petani miskin di Teluk Gong, Selangor bersama mahasiswa untuk mendapatkan tanah.

Bukan sahaja isu negara, malah isu antarabangsa juga turut diperjuangkan oleh masyarakat mahasiswa. Mahasiswa yang sebenar adalah mahasiswa yang berfikir untuk masa depan negara dan rakyat serta bebas memberi pandangan tanpa terikat dengan apa-apa kepentingan peribadi atau bukan juga yang memikirkan kepentingan diri semata-mata.

Namun kini, kita dapat melihat kelesuan yang berlaku dalam gerakan mahasiswa terutama sekali di zon utara. Beberapa institusi pengajian tinggi yang berada di Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak belum mampu mengatasi kelesuan yang membelenggu mahasiswa pada hari ini. Angin perubahan dan pembaharuan perlu terus dijana untuk mengembalikan kekuatan gerakan mahasiswa di era moden ini walau di mana kampus sekalipun kita berpijak.

Sungguhpun kita bukan lagi berada di dekad ‘boomer’, tetapi gerakan mahasiswa perlu terus menjadi tenaga penting dalam sesebuah masyarakat. Mahasiswa di seluruh Malaysia seharusnya memainkan peranan mereka dengan menyumbang kepada kemajuan agama, bangsa dan negara. Sememangnya kita tidak dapat lari daripada halangan yang mendatang, mahasiswa kini perlu mencari alternatif untuk bersuara demi untuk keadilan sosial. Itulah idealisme mahasiswa yang perlu dikembalikan rohnya.

Hidup, Hidup Mahasiswa! Student Power!