KEPERLUAN MENGUBAH PERSPEKTIF POLITIK DALAM KALANGAN MAHASISWA

Posted: Ogos 3, 2010 in Rencana, Suara Mahasiswa

“Dahulunya ada seekor harimau yang ditangkap dan digari di dalam penjara, walaupun telah banyak usaha dan akal digunakan, ianya tidak berjaya melepaskan diri. Akhirnya tiba satu masa gari tersebut dilepaskan, dan penjara tersebut dibuka. Harimau tersebut masih lagi setia menanti dan terpaku di situ sahaja walaupun diminta untuk keluarkan diri kerana dalam hatinya telah yakin ia tidak mampu melepasi jaringan ini dan mungkin aku sudah cukup selesa dalam kurungan ini.”

Apakah definisi sebenar mahasiswa dibenarkan berpolitik?

Alkisah ini Pro-Mahasiswa USM gambarkan mengenai kisah perjuangan dan latar hidup seorang mahasiswa. Jika dahulunya kita telah sedia maklum kelantangan dan keperkasaan mahasiswa dalam arena politik. Politik yang didefinisikan sebagai satu kuasa yang akan mempengaruhi sesuatu yang lain untuk turut menyetujuinya. Lihat sahaja harapan yang disandarkan oleh golongan masyarakat terhadap mahasiswa bagi menyuarakan keadilan dan hak yang telah dikhianati. Sehinggakan pemerintah tertinggi dalam negara ini suatu ketika dahulu pernah digertak dan diseru untuk meletakkan jawatan atas desakan mahasiswa. Tetapi sayang seribu kali saying, kerana mahasiswa hari ini tidaklah seperti cerita dahulu. Kehebatan dan keperkasaannya mungkin hanya termaktub di dalam lembaran sejarah.

Baru-baru ini, arena politik negara dan pengajian tinggi digembar-gemburkan mengenai kenyataan daripada beberapa pihak yang bersuara agar mahasiswa pada hari ini dibenarkan berpolitik. Seorang penganalisis politik, Mohd Roslan Mohd Saludin berkata kekangan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2009 yang melarang pelajar menganggotai parti politik telah menyebabkan mahasiswa menjauhkan diri daripada politik kepartian kerana merasakan peranannya tidak dihargai. Stigma ini berterusan sehinggakan kajian yang dilakukan ini terbukti tiga daripada lima pengundi muda atau 62 peratus daripada mereka masih ‘duduk atas pagar’ mengenai parti pilihan mereka. Tambahan pula kepincangan senario politik negara hari ini turut menyebabkan golongan muda ini mengambil pendirian non-partisan (tidak memihak) berhubung dengan politik negara.

Universiti merupakan satu institusi sosial yang berperanan penting dalam membentuk dan menurunkan nilai norma yang akan dipraktiskan oleh golongan yang menuntut di dalamnya. Peranan ini seharusnya dilihat dan diambil secara universal. Ia bukan sekadar menjadi institusi yang hanya melahirkan produk-produk yang akan diguna pakai oleh para majikan. Produk-produk ini juga seharusnya berfungsi dalam memberi manfaat kepada masyarakat di sekelilingnya. Permasalahan yang timbul kini adalah apabila produk-produk yang dihasilkan mengalami kecacatan dan kerosakkan. Kacacatan yang dinilai berdasarkan kajian ini membuktikan ketidaksediaan mahasiswa atau golongan muda melibatkan diri dalam arena politik negara. Permasalahan kian menjadi parah bilamana ia juga membuktikan pendirian golongan ini kebanyakannya tidak menjalankan tanggungjawab dalam memilih pimpinan negara di dalam pilihanraya.

Sejauh mana suara mahasiswa didengari?

Maka kita berusaha mencari di manakah silapnya ‘kilang’ penghasilan ini. Adakah pada bahan acuannya atau pada bahan mentahnya. Ruang kematangan bagi mahasiswa hari ini seolah-olah telah disempitkan. Institusi pendidikan tinggi ini seolah-olah hanya perlu berperanan seperti institusi pendidikan yang di bawahnya. Hanya berperanan untuk menyampaikan ilmu dan ia akan dinilai kematangan dan kecerdikannya melalui peperiksaan di akhir semester. Jika itu yang menjadi asas bahan acuan ini, jangan mengharap produk yang dihasilkan lebih berkualiti dan mempunyai pelbagai fungsi.

Hanya sebahagian kecil atau ruang yang dibuka untuk memberikan peluang kepada golongan muda ini untuk bersuara. Persoalan yang seharusnya dilontarkan, mengapa ruang kematangan ini perlu di sempitkan atau dibataskan dengan ruang lingkup dasar atau akta yang membantutkan mahasiswa? Sejauh mana ruang yang sempit ini benar-benar menjadi ruang kepada mahasiswa untuk melontarkan ngauman harimau yang perkasa atau ianya menjadi lebih mudah untuk mengawal atau mengubahnya menjadi suara kucing yang mengiau manja?

Masyarakat meletakkan harapan dan impian yang tinggi terhadap golongan muda yang ada pada masa ini. Kematangan dan kesediaan mahasiswa untuk memainkan peranan yang sejajar dengan ketinggian ilmu yang ada amatlah diraikan oleh semua golongan. Nilai modal insan yang tinggi mampu mengubah paradigma dan masa depan negara. Semoga institusi sosial ini berupaya membentuk dan menghasilkan produk-produk yang lebih berkualiti bagi menjana modal pembangunan dan kesejahteraan agama, bangsa dan negara.

Advertisements
Komen-komen
  1. peribadirasulullah berkata:

    Mari berkongsi ilmu
    http://peribadirasulullah.wordpress.com/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s