Penyelidik temui rangka manusia prasejarah di Sarawak

Posted: Oktober 10, 2008 in Berita Kampus, Nasional
Tag:, , , ,

USM Pulau Pinang | Selepas lebih 50 tahun, penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta sejarah apabila berjaya menemui lapan rangka manusia prasejarah berusia lebih 2,000 tahun di Gua Kain Hitam, Sarawak, sekaligus mendedahkan bukti kewujudan manusia zaman Neolitik di situ.

Ketua Penyelidik yang juga pensyarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia (PPAM) USM, Prof Madya Stephen Chia berkata, rangka yang ditemui itu berada dalam keadaan sangat reput dengan kebanyakan tulang-tulang didapati pecah.

Katanya, berdasarkan beberapa analisis awal, penemuan rangka-rangka itu dipercayai mempunyai kaitan dengan rangka manusia awal berusia lebih 40,000 tahun yang ditemui di Gua Niah, Sarawak, setengah abad yang lalu.

Proses ekskavasi yang dijalankan bermula tahun 2007 itu dilakukan dengan berhati-hati dan rangka-rangka itu telah dikonservasi di tapak penemuan dengan menguatkan tulang sebelum dikeluarkan daripada situ pada Jun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar mengumumkan penemuan itu di PPAM, di sini hari ini. Turut hadir ialah Pengarah PPAM, Prof. Madya Mokhtar Saidin dan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Sanib Said.

Tambah Stephen, kumpulan penyelidiknya juga turut menemui artifak seperti tembikar, manik dan sisa makanan bersama-sama rangka itu selepas menggali sehingga 1 meter ke dalam tanah di kawasan itu.

Enam rangka iaitu lima lelaki berusia antara 24 dan 45 tahun dan seorang wanita berusia antara 35 dan 45 tahun dengan ketinggian 1.56 dan 1.6 meter telah dibawa balik ke PPAM untuk analisis saintifik.

Ujar beliau lagi, penyelidikan yang dijalankan oleh PPAM dengan kerjasama Jabatan Muzium Sarawak sejak 2007 itu telah dibiayai Jabatan Warisan Negara, Kementerian Perpaduan, kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan geran Unversiti Penyelidikan USM.

Beliau turut berkata, PPAM turut menjalankan kajian saintifik bersama Pakar Palaeoanthropologi daripada Sappora Medical Unversity, Jepun, Dr Hirofumi Matsumara untuk mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung cara hidup dan populasi manusia prasejarah.

Dr Hirofumi ialah pakar pengkaji manusia prasejarah dan beliau mempunyai berpuluh tahun pengalaman menjalankan kajian-kajian arkeologi di rantau asia. Kepakarannya memang amat diperlukan bagi mengumpul sebanyak maklumat yang boleh,” jelasnya.

Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Sanib Said pula berkata, pengesahan bahawa rangka manusia yang ditemui di Gua Kain Hitam itu sebagai manusia yang hidup pada zaman Neolitik mampu menarik minat lebih ramai pelancong ke kawasan itu.

Tambahnya, selain menjadi penemuan penting sejak 53 tahun dahulu, penemuan tapak penempatan manusia prasejarah itu mendatangkan impak besar kepada bidang arkeopelancongan di Sarawak.

Penemuan terbaru ini bukan sahaja menambahkan maklumat prasejarah Sarawak dan juga Malaysia, malah ianya dijangka akan menarik lebih ramai pelancong tempatan dan laur negara untuk melawat tapak baru itu yang terletak di Taman Negara Niah,” katanya.

Sementara itu Pengarah PPAM, Prof Madya Mokhtar Saidin berkata pada Julai lepas, pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi pengkajinya, Prof Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman telah menghubungi PPAM untuk memohon bantuan mengeluarkan rangka prasejarah di Pulau Kalumpang, Perak dan seterusnya menjalankan analisis saintifik dan konservasi.

Beliau berkata kesemua rangka lelaki berusia antara 25 dan 35 tahun dengan ketinggian 1.59 meter dan 1.61 meter itu dikeluarkan dengan kaedah yang sedikit berlainan dengan rangka yang dijumpai di daratan.

Sebanyak tiga rangka manusia prasejarah itu ditemui dalam kawasan paya bakau dan terendam dalam air masin telah dibawa keluar daripada tapak penyelidikan pada Ogos lepas.

Rangka Manusia yang dipercayai hidup sekitar 1,000 hingga 3,000 tahun lepas itu telah dibawa keluar bersama-sama air masin bagi memastikan ia tidak musnah dan setibanya di sini, konservasi dijalankan secara saintifik dengan kaedah penyahgaram secara perlahan-lahan sebelum tindakan lanjut,” katanya.

Katanya kesemua rangka yang ditemui itu dalam posisi terlentang ditemui bersama-sama serpihan tembikar, manik, siput laut dan tulang haiwan di kawasan itu.

Dua penemuan ini mendedahkan wujud aktiviti pengkebumian di dalam gua dan di tepi laut pada zaman prasejarah,” katanya. -END

[Arkib USM: 18/09/2008]

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s