Matlamat PRK wajar diperhalusi

Posted: Oktober 6, 2008 in Rencana
Tag:, , ,

oleh HISYAMUDDIN CHE ALI *

RENCANA | Saban tahun, pilihanraya kampus (PRK) pasti mewarnai suasana di institusi pengajian tinggi dan juga kolej universiti di seluruh negara. Pada tahun ini juga, pasti kancah Pilihanraya Kampus yang dijangka pada bulan Oktober ini akan menjadi buah mulut masyarakat dan pemerhati politik tempatan.

Persoalan besar yang selalu bermain di minda ramai pihak ialah mengapa para mahasiswa mengambil berat akan pilihanraya ini? Adakah ingin menunjukkan jaguh atau sekadar suka-suka untuk menempah nama. Atau juga sebagai alat pro kepada kumpulan tertentu yang berkepentingan?

https://promahasiswausm.wordpress.com/wp-includes/js/tinymce-279/plugins/wordpress/img/trans.gifSaya sebagai salah bekas calon yang terlibat secara langsung dalam PRK pada tahun lalu berasa terpanggil untuk menyuarakan pendapat berkaitan demokrasi di gerbang ilmu ini.

Sebenarnya, Pilihanraya Kampus (PRK) disertai oleh para mahasiswa disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya adalah untuk menjadi pemimpin kepada pelajar itu sendiri. Sekiranya dahulu, pemilihan pengawas di sekolah hanyalah lantikan dan bukan pemilihan, tetapi ia senario berbeza di Universiti.

Mahasiswa mempunyai kebebasan untuk memilih mana-mana calon yang dirasakan layak untuk memimpun mereka. Yang boleh menjadi pemimpin dalam menyuarakan isu kebajikan mereka, yang boleh mengendalikan pesta konvokesyen, forum dan juga pelbagai program intelektual lain.

Para mahasiswa yang keluar mengundi inginkan satu kepimpinan yang boleh memacu perubahan ke arah penegakkan haknya di universiti.

Pemimpin pelajar yang terpilih itu pula perlulah menjadi pemimpin yang mampu merubah persepsi rakan sebayanya mengenai potensi generasi muda dari seorang pelajar biasa kepada pelajar yang miliki idealisme tentang cita-cita hidup merentasi pembinaan moral dan akhlak seseorang individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.

Selain itu, pemimpin pelajar yang dipilih juga wajar dilihat sebagai pemimpin pembina budaya (culture builder).

Selanjutnya, PRK merupakan medan demokrasi unggul yang mengajar para mahasiswa erti pilihanraya. Bermula dari pemilihan calon, hari penamaan calon, kempen, risalah-risalah, manifesto, kain rentang dan pengiraan undi,ia merupakan situasi sebenar seperti dalam pilihanraya umum.

Mahasiswa yang didedahkan dengan PRK, akan mengetahui cara-cara perjalanan pilihanraya dan juga peraturan semasa piliharaya yang seterusnya dapat diadaptasikan oleh mereka setelah keluar dari menara gading.

Demokrasi ini dilihat boleh menyedarkan para mahasiswa bahawa pangkahan mereka amat bernilai dalam mencorakkan kepimpinan pelajar.

Jadi, faktor pemakaian demokrasi dalam diri mahasiswa adalah penting sebelum mahasiswa menemui dunia realiti yang lebih mencabar dan penuh dengan pancaroba dalam ilmu politik.

Selain itu, PRK juga diperkenalkan adalah kerana ingin mencari pemimpin pelajar yang boleh menjadi contoh teladan kepada masyarakat luar terutamanya muda-mudi yang mengalami krisis identiti sekarang.

Perkara ini mampu merungkai dan membawa keluar kerumitan dan kegelisahan masyarakat yang dilingkari dengan masalah sosial dan jenayah dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah. Secara analisisnya, suara mahasiswa sebenarnya amat mahal dan apabila ia bersuara, pasti ada perkara yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat.

Di samping itu, kepimpinan negara memerlukan pelapis yang boleh menjadi pengganti kepada pemimpin sedia ada sekarang. Negara memerlukan tenaga dan daya pemikiran pemimpin yang baru bagi melangkah gagah menghadapi arena globalisasi dan juga hal ehwal dalaman negara kita.

Sekiranya kita selongkar sejarah lama, pemimpin pelajar seperti Shabery Cheek, Mahathir Mohamad, Zahid Hamidi, Saifuddin Abdullah, Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, Husam Musa, Abu Bakar Chik dan ramai lagi pemimpin yang pernah memegang tampuk pemerintahan negara, pernah diasuh sebagai pemimpin pelajar.

Oleh yang demikian,jelas PRK bukan sekadar berseronok ketika kempen, tetapi juga mempunyai matlamat jangka panjang yang amat penting dalam pembangunan negara.

PRK turut mengajar erti kebebasan memilih kepada para mahasiswa dalam pemilihan pemimpin pelajar.

Para calon pula boleh menggunakan peruntukan dalam Perkara 10 klausa 1 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa setiap warganegara bebas bercakap dan mengeluarkan idea.

Walau bagaimanapun, kebebasan tersebut tidak mutlak tetapi mempunyai beberapa sekatan tertentu yang antara lainnya melarang mahasiswa menyebarkan fitnah, ugutan, menghina calon lain dan juga menyebarkan provokasi.

Dalam Peraturan 64.5 Peraturan-Peraturan Pemilihan (Perjalanan Pemilihan) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia sendiri jelas melarang setiap calon dan wakilnya daripada membuat paksaan, ugutan dan deraan dalam apa jua bentuk terhadap orang perseorangan.

Prinsip keadilan asasi (natural justice) boleh diterapkan ke dalam jiwa mahasiswa dan mereka dapat disedarkan dengan hak asasi untuk bebas membuat pemilihan.

Bagi setiap calon pula, sifat pemimpin pelajar yang neutral, tidak mempunyai agenda politik serta bukan jurucakap kepada parti politik perlu ada paa setiap mahasiswa yang ingin bertanding dalam PRK.

Hal ini sejajar dengan konsep politik nilai mahasiswa dan juga Seksyen 15 kurungan 3 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang menyatakan bahawa para pelajar dilarang menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja.

Setelah diperhalusi tujuan PRK,maka saya merasakan bahawa PRK amat penting dalam mencorakkan pemikiran mahasiswa dan ia wajar dijadikan suatu nilai yang penting dalam diri mahasiswa.

Dihujahkan bahawa pilihanraya peringkat mahasiswa bukan medan merebut kuasa seperti mendapatkan kerusi dewan undangan negeri atau Parlimen.

Pemilihan peringkat kampus juga bukannya medan membalas dendam atau menunjuk siapa yang lebih gagah dan lebih kuat.

Tetapi medan pilihanraya kampus wajar dijadikan medan atau sekolah pembelajaran bagi mendidik mahasiswa untuk terlibat aktif dalam demokrasi sama ada di kampus dan di luar kampus setelah tamat pengajian mereka.

Suasana PRK pula perlulah adil dan berdemokrasi yang secara automatik akan melahirkan para mahasiwa menjadi lebih bermoral dan pro-demokrasi dalam menjana satu suasana politik sihat di Malaysia pada hari mendatang.

Oleh yang demikian, jelas bahawa matlamat pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar wajar diterima oleh pelbagai pihak bahawa ia diadakan untuk mendidik erti demokrasi kepada mahasiswa.

Sekiranya ia menyimpang jauh daripada matlamat asal, dibimbangi bahawa pemimpin yang dipilih bukan atas faktor kredibiliti atau kemampuan untuk memimpin,tetapi dipilih atas dasar ketakutan dan dipaksa.

Ini akan memberikan ancaman kepada kepimpinan negara boleh meruntuhkan keutuhan negara kita pada masa hadapan. Merujuk kepada kata-kata falsafah barat yang menyatakan bahawa ‘masa depan dibeli oleh masa sekarang’, maka mahasiswa seluruh negara wajar merenung kata-kata ini dan wajar persiapkan diri untuk memandu negara selepas ini.

Janganlah pilihanraya kampus yang bernilai tinggi ini hanya melahirkan pemimpin yang hanya ‘angguk-angguk,tetapi tidak berani ‘geleng-geleng’ dan ini akan merencatkan pertumbuhan penghasilan pemimpin masyarakat yang berkaliber di negara bertuah ini. –mahasiswakini

—————–

* Penulis adalah pemimpin Pro Mahasiswa (ProM) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Setiausaha Agong, Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM).

Advertisements
Komen-komen
  1. Penyokong berkata:

    Saya begitu tertarik dengan artikel ini. Ya, sememangnya, matlamat utama PRK mesti diperhalusi. Saya sokong perjuangan ini. Tetapi, sejauh mana kualiti pemimpin pelajar masa kini? Saya bukanlah hebat dalam berpolitik kampus ini, tetapi daripada pemerhatian yang saya buat, ada sesetengah pemimpin pelajar, hanya cakap berapi- api ketika mempromosikan diri. Tetapi, bila sudah membentuk MPP, kerja entah mana, puak- puak itu yang jelas nyata. Adakah benar matlamat kepimpinan itu tercapai?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s