Implikasi Universiti Apex

Posted: September 21, 2008 in Nasional
Tag:, ,

RENCANA | Setinggi-tinggi tahniah kepada Universiti Sains Malaysia (USM) kerana telah dianugerahkan status Universiti Apex. Ramai orang menyoal mengapa status Universiti Apex dianugerahkan kepada USM. Tidak kurang juga yang tidak puas hati. Masing-masing merasakan bahawa universiti merekalah yang patut menang.

Perasaan sebegini timbul kerana tiada kefahaman mengenai syarat yang dikenakan untuk anugerah status Apex itu. Kalau sudah faham, tentu kita akan dapat membuat penilaian yang lebih rasional.

Tiga kriteria yang telah diguna pakai oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menentukan universiti mana yang layak untuk anugerah itu ialah “keadaan semasa yang siap sedia; kesediaan untuk berubah; dan penyediaan pelan transformasi”, seperti mana yang dinyatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“USM dipilih sebagai Universiti Apex selepas diberi penilaian yang lebih tinggi dalam tiga aspek iatu keadaan semasa, kesediaan untuk berubah dan penyediaan pelan transformasi” (Utusan Malaysia, 4 September 2008).

Kalau itulah syarat-syaratnya, maka universiti yang terhebat dalam memenuhi syarat-syarat itu yang akan menang. Fakta-fakta lain tidak menjadi ukuran. Kita mesti akur dan faham dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan, kerana itulah yang diambil kira oleh pihak kerajaan.

Universiti-universiti teragung dunia seperti Oxford dan Cambridge yang sering berada dalam senarai 10 universiti terbaik mengikut beberapa penilaian penarafan universiti (THE-QS, Shanghai Jiao Tong), tidak pun tersenarai dalam penarafan Webometric bagi tahun 2007 sebagai 10 universiti terbaik.

Kenapa? Ini adalah kerana Webometric menggunakan syarat yang berlandaskan analisis kualitatif yang diperolehi daripada Internet dan kandungan web universitiuniversiti yang dinilai.

Ini bermakna antara lain, sekiranya laman web sesebuah universiti tidak canggih, maka universiti itu akan terpinggir dalam penarafan Webometric.

MemahamiOxford dan Cambridge tidak pernah kecewa atau marah dengan keputusan yang dibuat oleh Webometric, kerana mereka memahami sepenuhnya syarat-syarat yang dikenakan oleh Webometric.

Oleh yang demikian, mana-mana universiti dalam Malaysia yang tidak berjaya untuk mendapatkan status Universiti Apex baru-baru ini, hendaklah bertanyakan diri masing-masing, sama ada mereka telah berusaha secukupnya untuk mempersiapkan diri bagi memenuhi syarat-syarat yang dikenakan itu.

Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti juga bertanggungjawab untuk bertanyakan diri masing-masing, dan kenalah ambil berat tentang perkara ini. Sekiranya tidak, maka tidak perlulah mempersoalkan keputusan yang telah dibuat.

Kerajaan telah pun membuat keputusan untuk menganugerahkan status Apex kepada USM. Yang menang, pikullah tanggungjawab yang diamanahkan itu. Yang kalah, tunjukkanlah kehebatan yang masing-masing rasakan ada pada diri. Jika benar-benar hebat dan dapat mengatasi USM lima tahun dari sekarang kelak, bolehlah tepuk dada.

Walaupun universiti-universiti yang kalah ini akan berusaha bertungkus-lumus, mereka pasti akan menghadapi kerumitan juga untuk bersaing atau mengatasi USM. Ini kerana dengan status Apex itu USM telah diberikan oleh kerajaan pelbagai keistimewaan yang tidak terhingga besarnya.

Universiti-universiti yang kalah tidak diberikan keistimewaan-keistimewaan itu. Maka jadilah mereka seperti anak tiri. Oleh yang demikian sebarang perlumbaan untuk mencapai kecemerlangan oleh universiti-universiti yang kalah itu, tidak akan bermula daripada garisan yang sama dengan USM, malah mereka akan bermula daripada garisan yang terkebelakang.

Inilah fakta yang akan merumitkan universiti-universiti yang kalah itu untuk menandingi USM. Memikirkan perkara ini, saya teringatkan pesan arwah bapa yang sering mengingatkan saya supaya melayani kesemua anak-anak dengan adil, dan tidak melebihkan yang satu daripada yang lain walaupun mereka itu berbeza dari segi sifat apa pun.

Salah satu daripada matlamat yang hendak dicapai oleh universiti Apex adalah untuk menjadi salah satu daripada 100 buah universiti terbaik dunia. Perkara ini diperjelaskan oleh Menteri Pengajian Tinggi dalam kenyataannya “sebagai pemaju Apex juga, kecemerlangan pelajar USM akan menjadi sebahagian daripada proses penentu kepada prasyarat untuk mencapai sasaran 100 universiti terbaik dunia menjelang 2010 dan 50 universiti terbaik pada 2020” (Utusan Malaysia, 5 September 2008).

Tetapi Naib Canselor USM pula telah membuat kenyataan “Saya akan persoalkan THES, apa istimewanya ranking untuk kita berhempas pulas, mengapa tidak ada ranking lain, mengapa Malaysia tidak boleh membuat ranking sendiri. Jadi, konsep THES kadang kala dilihat sebagai satu ketaksuban membuta tuli, yang tidak difahami orang politik yang melihat angka sebagai penilaian mutlak bagi sesebuah universiti” (Berita Minggu 7 September 2008).

Kenyataan-kenyataan yang bercanggah seperti itu akan mengelirukan banyak pihak dan perlu dijelaskan apa sebenarnya pendirian kerajaan mengenai perkara ini.

Pada Oktober depan, THE-QS World University Ranking akan mengumumkan kedudukan universiti-universiti mengikut penarafannya. Apakah akan jadi sekiranya USM tidak dapat mengatasi universiti-universiti lain di Malaysia, atau kedudukannya merudum, sedangkan universiti-universiti lain meningkat kedudukan masing-masing berbanding dengan tahun yang lalu?

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s